Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) Untuk Mendapatkan Zuriat. Muzakarah telah memutuskan bahawa menggunakan kaedah khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat adalah diharamkan oleh Islam walaupun sperma dan ovum adalah diambil daripada suami isteri yang sah kerana ia akan menyebabkan berlakunya kekeliruan nasab anak yang akan dilahirkan.
Keterangan/Hujah:
-
Ketidaktentuan nasab merupakan aspek yang paling besar dalam kelahiran
seorang bayi yang dikandung oleh ibu tumpang. Seorang ibu tumpang
berbangsa Inggeris berkulit putih misalnya boleh melahirkan seorang bayi
yang berbangsa negro yang berkulit hitam atau sebaliknya.
-
Perkembangan dunia perubatan di bidang teknologi rawatan kesuburan
bagi membantu reproduksi walaupun banyak memberi manfaat namun ternyata
boleh menyebabkan kecelaruan sistem kekeluargaan dan keturunan. Melalui
khidmat ibu tumpang, bayi yang dikandung dan dilahirkan mempunyai
hubungan genetik atau tiada langsung hubungan darah dengan ibu
tumpangnya kerana telur dan sperma adalah milik orang lain.
-
Setakat ini tiada undang-undang yang jelas menyekat kaedah rawatan
ketidaksuburan (infertility treatment) yang menggunakan perkhidmatan ibu
tumpang.
-
Di beberapa negara Eropah kadar permintaan menggunakan khidmat ibu
tumpang semakin meningkat dan dikhuatiri fenomena ini akan menular di
negara ini.
-
Selain daripada kaedah ibu tumpang ini, terdapat juga kaedah perubatan
yang menggunakan air sum-sum tulang belakang bagi membantu pasangan
suami isteri yang yang kurang subur, mandul atau gagal memperolehi anak
melalui kaedah semula jadi.
- Kaedah-kaedah perubatan yang diperkenalkan oleh Barat ini secara perlahan-lahan telah berjaya mempengaruhi masyarakat bahawa status ibu kepada bayi tidak semestinya disandang oleh wanita yang mengandung dan melahirkan, begitu juga status bapa tidak semestinya lelaki yang menyumbang benih atau menjadi suami kepada wanita yang mengandungkan bayi daripada darah dagingnya.
No comments:
Post a Comment